Hidup. Banyak manusia menafsirkan erti hidup dari pelbagai bentuk aspek kehidupan. Segala pengalaman harian dikaitkan untuk lebih mengenali dan memahami erti hidup. Benar, kefahaman setiap orang terhadap sesuatu perkara sering berbeza. Kebiasaannya mereka punya pendapat yang berbeza berdasarkan apa yang mereka alami dan pelajari. Setiap dari kita dibesar dengan persekitaran yang berbeza. Pengalaman yang berbeza. Jadi, tidak hairan mereka punya sudut pandang yang amat beza antara satu sama lain.
Jadi, bagi yang beza dari yang lain. Itu adalah cabaran. Itu adalah warna hidup. Tak semua perkara sehaluan. Namun tak semua perkara bersimpang siur. Kedua-duanya ada keseimbangannya. Itu uniknya hidup yang Allah ciptakan untuk kita. Agar kita sedar kebesaran dan kekuasaan-Nya. Agar kita sedar kita adalah hamba. Kita juga adalah tetamu. Tetamu kehidupan. Tetamu yang sifatnya hanya sementara, kerana bakal menemui pengakhiran sebuah penumpangan. Ya, kita hanya tetamu yang menumpang di dunia ini untuk menikmati hidup.
Setiap dari kita punya pandangan masing-masing terhadap hidup.
Bagiku. Hidup bagaikan sebuah karangan. Setiap perenggan itu perlu diselenggara dengan rapi. Kata mak "Kena pandai adjust." Sebab tak semua kata-kata itu boleh kita nukilkan begitu sahaja tanpa penyusunan struktur ayat yang bersistematik. Bagaimana mungkin maksud sebuah penceritaan boleh difahami jika struktur ayat juga kelam kabut.
Penting juga untuk merancang jalan cerita yang menarik. Supaya kita tahu arah perjalanan kita. Supaya apabila kita sedar yang kita lari dari landasan, kita tahu dan usaha untuk mampu menampung kekurangan yang ada agar dapat kembali lurus. Terlajak itu normal. Kerana dari situ, kita pelajari sesuatu yang punya intipati bermutu.
"Jaga tulisan itu. First impression merupakan perkara terpenting," kata Ustazah Norahida. Jika tulisan pun bagai cakar ayam, mana mungkin seseorang benar-benar ingin membacanya. Walau hati berkata "Biarlah! Kisah aku. Kenapa perlu kamu, kamu, kamu kisahkan!"
Tidak. Wahai orang sekeliling, jangan buang istilah jaga tepi kain orang lain. Dalam Islam, kita memang digalakkan mengambil berat terhadap muslim yang lain. Mengapa perlu dihapuskan istilah itu. Tapi melampaulah kalau 24 jam menjaga kain orang. Kita pun perlu juga masa untuk menjaga kain sendiri. Cukup sekadar bertanya khabar iman biar ada rasa untuk kembali ke jalan-Nya. Biar tersedar dari mimpi indah. Biar tersedar dari kesibukan dunia.
Dalam sesebuah karangan juga perlu dititikberatkan uslub atau gaya bahasa yang indah. Memang tak mudah nak capai struktur ayat yang bombastik seperti guru yang kuhormati, Cikgu Zul'aini Hamzah. Jadi, banyakkan kosa kata di dada. Tapi...ingin ku nyata. Hakikatnya, Bahasa Arab bahasa terindah pernah kutemui. Cukup satu kalimah untuk men'describe' sesuatu yang mampu disertakan kata kerja, waktu, pelaku dan gendernya sekali. Sangat hebat Allah ciptakan Bahasa Arab. Namun, bahasa ibunda ku juga punya keindahannya tinggal lagi yang kini sudah dicemari unsur bahasa rojak atau bahasa pasar.

Untuk mendapatkan uslub yang indah perlulah belajar dari zero to hero. Bak kata mak "Nak makan buah kenalah tanam biji dia dulu, siram dia, baja dia. Bila dah besar ada juga cabaran dia. Ulat pula datang bertandang. Kena lah pantau kondisi pokok kita tu kalau nak buah yang ranum dan enak." Benar, dalam perjalanan menuju suatu destinasi memang banyak akar yang bercabang di setiap lorong. Ada juga simpang siur yang akan mengelirukan kita arah mana yang tepat untuk dituju. Tinggal lagi "Jangan putus asa", seperti yang ayah katakan.
Jadi, seperti dalam sebuah pengembaraan, kita perlulah sentiasa bersama kompas, peta dan paling penting ilmu. Ilmu agama, alam dan pengembaraan.
Begitu juga dalam penulisan. Paling penting ialah ilmu, kreativiti mengadapi liku-liku idea yang berlubang dan semangat untuk menghabiskan sesebuah penceritaan. Kerana apa? Sebab seseorang penulis adakala punya idea yang banyak. Amat banyak. Tapi tak kreatif untuk susun idea. Jadi, putus asa pula memeluk diri penulis dan menurunkan semangat untuk terus menulis. Jadinya, terbengkalailah sesebuah penulisan itu.
Seperti hidup. Paling penting ilmu, azam, kreativiti dan semangat juang yang tinggi untuk menangani apa jua bentuk cabaran. Semangat saja tak memadai. Perlu untuk kita mengurus semangat agar semangat yang mulai menyala dari awal perjalanan dapat terus dinyalakan sehingga akhirnya. Memang tak mudah untuk capai mudah. Kerana dari penat lelah dan tangis kepenatan serta kekecewaan itulah dapat membangkitkan kita seterusnya dapat kita rasai nikmat dari semua itu. Wallahu'alam.
Berkata memang mudah, kan [?]
Dalam kelam sunyi sebuah 'kotak pastel hijau pink biru',
12.52 minit pagi.